Friday 30 May 2014

Bebas

Selepas aku mengantar 2 orang pelancong Jepun ke Bukit Bendera aku pun pulang semula ke pengkalan aku pada masa itu jam baru menunjukkan baru pukul 9.30 pagi.
Di dalam perjalanan pulang aku memasuki jalan Goal itu jalan yang terletak Penjara Pulau Pinang,penjara tersebut merupakan sebuah penjara yang lama dibina iaitu pada tahun 1850.Salah sebuah penjara yang tertua dibina semasa zaman penjajahan British di Tanah Melayu.
Semasa aku melalui dihadapan pintu besar penjara tersebut aku melihat seorang lelaki Cina yang agak berumur sedang berdiri di hadapan pintu besar itu bersama-sama bag plastik ditangannya.Aku lihat dia melambaikan tangan kepada ku semasa aku melalui dihadapannya, lantas aku pun berhenti.
“Uncle nak pergi mana “? Aku bertanya kepada lelaki tersebut.
“Encik,boleh hantar saya ke Sungai Pinang,Balik Pulau”katanya sambil membongkokkan badan melihat aku melalui tingkap teksi.
“Boleh..nanti uncle tunjukkan saya di mana rumah rumah uncle sebab Sungai Pinang itu luas daeraahnya “..aku memberitahunya  sambil menjemputnya masuk ke dalam teksi.
“Boleh..boleh” ucapnya sambil melabuhkan buntutnya di atas kerusi belakang.
Semasa di dalam  perjalanan aku untuk keluar daripada pusatbandar aku melihat lelaki tersebut tidak melepaskan mata memandang bangunan-bangunan pencakar langit disekeliling jalan di dalam  Bandar.
“Wah...dah banyak berubah sekarang ini tak macam tahun 1980 ucapnya semasa aku melalui kawasan bandaraya “ ku lihat dia memaling  mukanya ke  luar tingkap teksi ku dengan wajah penuh kehairanan sambil mengelengkan kepalanya sesekali.
“Uncle berasal dari mana?”..aku memulakan perbicaraan dengannya memandangkan aku lihat dia kehairanan melihat suasana bandaraya semacam tidak pernah datang ke sini.
“Ohh.Saya..berasal dari sini tapi agak lama juga saya dipenjara hampir 35 tahun lamanya di atas jenayah yang saya lakukan dahulu” katanya dengan bersahaja.
“Oh..jadi sebentar tadi uncle baru bebas lah” aku bertanya kepadanya sambil memerhati beliau melalui cermin pandang belakang teksiku.
“Macam itu lah..baru bebas dah lama sangat saya terkurung di dalam penjara tu”..katanya sambil menelekup kedua tangannya ke muka.
“Serik memang dah serik tak mahu masuk lagi ,memang dahulu saya banyak buat silap cuma saya  bernasib baik agaknya tak ke tali gantung” keluhnya mengenangkan perbuatan jenayah yang dilakukan semasa zaman mudanya dahulu.
“Lama sangat tu uncle di penjara, tentu jenayah berat yang uncle dah buat” aku cuba mengorek cerita zaman lampaunya.
Beliau pun tanpa segan silu menceritakan kepada ku apa yang telah berlaku pada 35 tahun yang lampau.
Katanya semasa itu umur beliau dalam sekitar 30 tahun,beliau bercampur dengan satu kumpulan haram dan aktif di dalam jenayah ragut dan rompak di sekitar bandaraya .Suatu hari Perayaan Cina sudah dekat beliau dan kumpulannya merancang untuk merompak sebuah bank di bandar ini.Selepas membuat perancangan selama 2 minggu lamanya beliau bersama dengan 2 lagi rakannya mengatur stategi merompak sebuah bank .
Setelah semuanya diaturkan mereka pun menggunakan 2 buah motosikal untuk membuat rompakan bank .Perancangan awal mereka hendak merompak pada jam 9.30 pagi iaitu awal pagi sewaktu bank memulakan aktivitinya.Pada waktu tersebut juga merupakan hari Isnin hari pertama bekerja maka banyak pelanggan akan datang  untuk berurusan memasukkan wang ke dalam bank.
Tepat pada masa yang dirancangkan mereka bertiga terus masuk kedalam bank tersebut dan salah seorang daripada rakannya terus ke pengawal keselamatan bank yang sedang berdiri di pintu masuk bank dan merampas senapang patah daripada pengawal tersebut sambil mengacukan pistol ke kepala pengawal tadi.Rakannya melepas satu das tembakan keudara meminta semua pelanggan dan kakitangan di dalam bank tersebut meniarap di lantai bank.
Seorang daripada rakannya melulu ke dalam kaunter bank dan mengacukan pistol kearah muka seorang kerani bank yang bertugas di kaunter meminta supaya diserahkan semua wang yang terdapat di kaunter tersebut dan  dimasukkan ke dalam karung yang diberikan oleh rakannya .Kerani bank tersebut akur dengan kehendak rakannya dan memasukkan kesemua wang yang terdapat di kaunter ke dalam karung tersebut .Setelah semuanya selesai rakan itu memberi amaran akan menembak sesiapa sahaja yang cuba melawan dan minta mereka semua jangan bangun sehingga mereka keluar meloloskan diri dari bank tersebut.Kejadian itu berlaku sungguh pantas sekali di dalam kiraan 10 minit sahaja.Setelah meloloskan diri daripada bank tersebut mereka terus ke motosikal yang diletakkan di luar bank tersebut untuk melarikan diri.
Tetapi sebelum sempat mereka hendak menghidupkan engin motosikal mereka kedengaran loceng amaran bank berbunyi dan dengan  sekelip  mata terdapat beberapa anggota keselamatan sedang membuat rondaan di hadapan bank tersebut maka disitulah berlakunya tembak menembak dan 2 orang rakannya tumpas di tempat kejadian tersebut manakala beliau sempat melarikan diri bersama dengan wang rompakan tersebut dicelah-celah bangunan dan orang ramai.
Di dalam kepalanya sewaktu melarikan diri bersama-sama dengan wang rompakan tersebut dia terbayang wajah isteri dan anak perempuannya yang berumur 1 tahun bermain-main di fikirannya dan dalam masa yang sama juga beliau berharap dapat  memboloskan diri daripada ditangkap oleh pihak berkuasa.
Setibanya di satu persimpangan jalan, kedengaran satu das tembakan diudara dilepaskan dan satu teriakan  “Jangan Lari atau ditembak”semasa itu wajah isteri dan anaknya melayang-layang di fikirannya dan itu melemahkan semangatnya dan beliau pun melutut menyerah diri.Kelihatan 5 anggota polis berpakaian biasa mengepungnya dan terus memberkasnya .
Pihak mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana melakukan jenayah berat iaitu merompak dengan menggunakan senjata dan beliau merengkok di dalam penjara selama 35 tahun selepas mendapat pengampunan daripada Yang Di pertuan Agung dan kerana berkelakuan baik semasa tempoh tahanan beliau.Beliau dibebaskan hari ini.
Semasa beliau ditahan isterinya tidak jemu-jemu menjenguknya setiap kali pada Tahun Baru Cina dengan membawa anak perempuannya sekali.Setiap kali melihat isterinya dan anak perempuannya maka linangan airmata akan berguguran dan menyesal di atas perbuatannya.Setiap tahun demi tahun anak perempuannya makin dewasa dan isterinyanya semakin tua tetapi kasih sayang mereka tidak pernah luntur walaupun dimakan usia dan mereka terpisah oleh tembok besi.
Aku lihat beliau mengesatkan airmatanya sesekali bila bercerita pengalamannya kepada ku tanda penyesalan di atas perbuatannya pada masa lampau.
“Encik..anak perempuan saya sudah kahwin dan sudah punyai 2 orang anak seorang lelaki dan seorang perempuan, sekarang mereka sudah besar,saya tidak sabar nak melihat mereka berdua sebab semasa dipenjara anak perempuan saya tidak mahu membawa mereka ke sana dia cakap takut sial nanti”..katanya dengan penuh harapan untuk melihat cucunya.
“Nanti apabila saya pulang ,saya akan bagi nasihat pada cucu-cucu saya supaya jangan buat salah,jangan buat jenayah sebab kalau buat  boleh kena hukum “  katanya sambil mengeleng-gelengkan kepalanya tandanya sudah dapat pengajaran daripada kesalahan yang dilakukannya itu.
Aku hanya tersenyum pada lelaki itu tandanya faham akan maksudnya itu sambil memberi penuh perhatian di atas pemanduan ku.Setelah sampai di Pekan Sungai Pinang beliau menyuruh aku memberhentikan teksiku di hadapan sebuah kedai kopi Cina dan beliau turun sebentar lantas terus masuk ke kedai kopi tersebut .Aku tunggu lebih kurang 5 minit ,aku lihat beliau keluar kembali bersama dengan seorang lelaki sebaya dengan usianya sambil memberi wang kepadaku.
“Encik, ambil ini “ katanya dengan senyuman mesra kepada ku.
“Eh..uncle banyak sangat ni uncle” kataku selepas melihat wang warna unggu 3 keping dihulurkan kepadaku.
“Tak..apa..ini macam ang pow saya bagi kepada encik”..katanya sambil menganggukkan kepalanya.
“Terima kasih uncle semoga berbahagia uncle dan selamat tinggal uncle” ucapan ku kepadanya.
Aku terus keluar daripada Pekan Sungai Pinang menuju ke pusat Bandar sambil mengenangkan akan pengalaman beliau dan bagi aku sekiranya kita membuat salah sudah tentu ada undang-undang menanti kita sebab undang-undang hanya menanti kepada orang yang buat salah tetapi sekiranya kita buat silap itu hanyalah perkara biasa , mana ada manusia yang tidak melakukan kesilapan  dengan mengambil iktibar dan memperbetulkan kesilapan yang kita lakukan  ianya akan mendewasakan kita .Sentiasalah belajar merenung sejenak akan setiap perbuatan kita kerana sememangnya kita yang bernama insan ini memang seringkali membuat kesilapan.



3 comments:

  1. This story is so bagus & interesting. You should go and hang outside the Penjara. I am sure they release convicts daily for you to hear their history!

    ReplyDelete
  2. Touching r cerpen hang niiii. -Nan-

    ReplyDelete
  3. Manusia ini memang susah hendak sedar tetapi sekiranya dah sedar maka dia akan kembali kepada fitrah manusia yang sebenarnya dan berhati lembut dan penyanyang

    ReplyDelete